Tuesday, August 30, 2016

MALAYSIA adalah negara pertama di Asean menjadi perintis

"MALAYSIA adalah negara pertama di Asean menjadi perintis"

.
MALAYSIA adalah negara pertama di Asean menjadi perintis yang mengintegrasikan Pemikiran Komputasional dan Sains Komputer ke dalam kurikulum rasmi di sekolah bermula 2018. - GAMBAR HIASAN/UTUSAN
30 Ogos 2016 6:25 PM
RAMAI pihak yang menyambut baik terutama dalam pendidik dan ibu bapa apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan mulai tahun depan, modul pemikiran komputasional dan Sains Komputer akan diintegrasikan ke dalam Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) dan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM).

Langkah yang digerakkan oleh Kementerian Pendidikan dengan sokongan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) itu akan memberi manfaat kepada 1.2 juta pelajar dari 10,173 buah sekolah seluruh negara.


Modul pemikiran komputasional akan disepadukan dalam semua subjek di sekolah rendah secara berperingkat bermula dengan murid tahun satu pada tahun depan, tahun dua pada 2018 dan seterusnya. Sementara itu, subjek asas Sains Komputer pula akan ditawarkan di sekolah menengah bermula dengan pelajar tingkatan satu dan tingkatan empat pada tahun hadapan.

Apakah sebenarnya definisi pemikiran komputasional itu? Ia bermaksud suatu bentuk pemikiran yang melibatkan pemprosesan melalui penggunaan komputer. Ia memerlukan keupayaan seseorang untuk mengira melalui ­angka dan data seperti kaedah yang digunakan oleh sebuah komputer.

Menurut Wikipedia, pemikiran komputasional adalah satu ­proses pemikiran yang bersifat kritis dan kreatif untuk menyelesaikan sesuatu masalah. Ia satu set konsep, aplikasi dan perkakasan yang berkaitan kemahiran Sains Komputer. Dengan kata lain, pemikiran komputasional meng­galakkan seseorang menggunakan teknik dan bertindak persis sebuah komputer bagi menyelesaikan sesuatu masalah.

Pada hakikatnya penggunaan pemikiran komputasional akan memudahkan seseorang memahami tingkah laku manusia. Kaedah ini memerlukan penglibatan banyak pengiraan berbentuk angka dan data serta penyediaan reka bentuk sistem bagi menyelesaikan sesuatu masalah yang rumit dan kompleks. Apa yang menariknya pemikiran komputasional ini adalah suatu asas dalam menyediakan pekerjaan berteraskan ekonomi digital.

Istilah pemikiran komputasional atau computational thinking mula digunakan oleh Seymour Papert dalam tulisannya pada 1980 dan 1996 serta Jeannette Wing (2006) melalui artikelnya bertajuk ACM Communication. Selepas itu, istilah pemikiran tersebut dikembang dan diaplikasikan oleh mereka yang terlibat dalam pengajian Sains Komputer. Menurut mereka asas kemahiran pemikiran ini sangat berkesan dalam bidang Sains Komputer oleh itu seharusnya diluaskan pula kepada bidang atau disiplin pengajian lain.

Secara umumnya proses penyelesaian masalah menggunakan pemikiran komputasional adalah mengikut kaedah logik dan berbentuk penganalisis data. Dimulakan dengan mengenalpasti masalah, menganalisis data dan menggunakan berbagai kaedah penyelesaian masalah. Dijangkakan penyelesaiannya menjadi lebih tepat dan berkesan kerana melalui langkah teratur dan menggunakan sumber berbentuk data dan fakta.

Kini kajian dan aplikasi pemikiran komputasional ini berkembang pesat di Universiti Carnegie Mellon, Pittsburgh, Amerika Syarikat (AS). Universiti ini mempunyai Center for Computational Thinking di mana aktiviti utamanya adalah melaksanakan program PROBEs atau Problem-oriented Explorations. PROBEs sentiasa melakukan percubaan bagaimana kolaborasi kaedah pemikiran komputasional dan Sains Komputer gunaan dapat digunakan dalam menyelesaikan sebarang masalah.

Keupayaan dan kesesuaian pemikiran komputasional dalam pembelajaran berbentuk problem-based menyebabkan elemennya dimasukkan dalam subjek STEM (Science, Technology, Engineering dan Mathematics) sekolah di AS. Dalam subjek STEM itu, ia dianggap sebagai kemahiran kognitif yang utama kerana berupaya menyelesaikan masalah rumit dan kompleks seperti dalam bidang robotik dan ciptaan teknologi baru.

Sesungguhnya langkah pro­aktif Kementerian Pendidikan untuk memulakan modul pemikiran komputasional bermula tahun depan seharusnya diberi pujian. Difahamkan pihak kementerian telah memulakan projek rintis tahun lalu melibatkan 24 sekolah yang membabitkan 660 murid dan 50 guru. Ketika ini seramai 9,200 guru sedang menjalani latihan integrasi bagi pengajaran di bilik darjah di Institut Latihan Guru (IPG) dan latihan kepada pengetua dan guru besar di Institut Aminuddin Baki (IAB).

Pada hakikatnya integrasi antara modul pemikiran komputasional dan Sains Komputer adalah penambahbaikan kepada pem­belajaran teknologi komunikasi maklumat (ICT) sedia ada di sekolah. Bagi sekolah rendah, kemahiran ICT akan diintegrasi ke dalam semua subjek di mana murid bukan hanya akan celik IT tetapi juga mempelajari teknologi komputer, termasuk kaedah pengekodan dan penjujukan.

Di peringkat menengah rendah penekanan akan diberikan kepada pengaturcaraan di bawah subjek asas sains komputer manakala peringkat menengah atas akan memberi fokus kepada nilai dan etika.

Diharapkan inisiatif ini akan dapat memupuk penghasil digital (digital maker) dalam kalangan murid terutama di luar bilik darjah melalui kelab dan hab ‘digital maker.’ Difahamkan kini sudah terdapat enam hab digital maker dan menyasarkan 14 hab menjelang hujung tahun ini.

Pada pendapat penulis ­penerapan modul pemikiran komputasional dalam pengajaran dan pembelajaran di sekolah yang telah dimulakan di AS, United Kingdom dan Australia tidak lama lagi ianya akan menjadi fenomena global.

Justeru kita berbangga kerana Malaysia telah mengambil langkah awal untuk merealisasikan dan adalah antara negara pertama di ASEAN yang merintis modul itu dalam sistem pendidikannya.

TAN SRI ALIMUDDIN MOHD. DOM ialah Pengerusi, Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB).



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/rencana/utama/mengurus-modul-pemikiran-komputasional-1.376378#ixzz4ze3vJIgK
© Utusan Melayu (M) Bhd .

No comments:

Post a Comment