Thursday, August 11, 2016
Pemikiran Komputasional, Sains Komputer Akan Diajar Di Sekolah Tahun 2018
.
PUTRAJAYA: Mulai Januari tahun depan, Pemikiran Komputasional dan Sains Komputer akan diintegrasikan ke dalam kurikulum rasmi sekolah di negara ini, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.
Perdana Menteri, ketika mengumumkan perkara itu hari ini, berkata mereka akan diintegrasikan ke dalam Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) dan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) yang baharu secara berperingkat.
"Usaha ini akan memberi manfaat kepada kira-kira 1.2 juta pelajar dari 10,173 sekolah di seluruh negara," kata beliau pada majlis pelancaran pergerakan #mydigitalmaker di Sekolah Sultan Alam Shah, Presint 1 di sini, Khamis.
Najib berkata Pemikiran Komputasional dan Sains Komputer akan diintegrasikan ke dalam semua mata pelajaran bagi sekolah rendah secara berperingkat bermula dengan Tahun Satu tahun depan, Tahun Dua pada tahun 2018 dan seterusnya.
Beliau berkata Sains komputer asas akan ditawarkan kepada sekolah-sekolah menengah, bermula di Tingkatan 1 dan Tingkatan 4 tahun depan.
"Apa yang kita perkenalkan sebenarnya sesuatu yang juga sedang dilakukan di banyak negara lain. Ini adalah satu fenomena global. Amerika, UK dan Australia telahpun mengintegrasikan pendidikan Sains Komputer di sekolah-sekolah mereka.
Saya faham bahawa Malaysia adalah negara pertama di ASEAN menjadi perintis kurikulum ini dalam sistem pendidikan kita," katanya.
Najib berkata, Kementerian Pendidikan dan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) bekerjasama rapat untuk menyediakan pendidik bagi kurikulum baharu.
Beliau berkata kira-kira 9,200 orang guru sedang menjalani latihan mengenai cara untuk mengintegrasikan pemikiran komputasional dan sains komputer ke dalam bilik darjah mereka untuk kurikulum baharu tahun depan.
"Pemikiran Komputasional dan Sains Komputer juga sedang diintegrasikan di maktab-maktab perguruan dan Institut Aminuddin Baki yang melatih pengetua dan guru besar. Pada masa depan, semua guru yang menamatkan pengajian di institut-institut latihan guru akan dilengkapi dengan kemahiran ini," katanya.
Najib berkata kurikulum Pemikiran Komputasional dan Sains Komputer dijadikan projek perintis di 24 sekolah tahun lepas, melibatkan 660 pelajar dan 50 guru.
Beliau berkata, dalam tempoh yang singkat, lapan hingga 10 minggu kelas itu diadakan, pelajar-pelajar ini telah dapat mencipta permainan mereka sendiri, presentasi dan ciptaan lain.
"Saya mesti mengambil sedikit masa untuk mengucapkan Syabas dan tahniah kepada guru-guru dalam program perintis ini. Anda telah menjalankan tugas dengan cemerlang dalam menguasai kemahiran baru ini dan memupuk minat dan kemahiran pelajar anda dalam masa yang singkat," katanya.
Sementara itu, Najib berkata adalah penting untuk melatih generasi muda dengan Pemikiran Komputasional dan bahasa pengekodan yang akan memberikan mereka asas yang baik dalam membuat persediaan dalam bidang pekerjaan ekonomi digital pada masa depan.
Beliau berkata pekerjaan seperti Saintis Data, Imagineer (pakar jurutera dan multimedia), pereka Permainan 3D atau Pengaturcara Antara Muka Pengguna (UI) dan arkitek Solusi yang merupakan beberapa nama jawatan baharu dan baru muncul yang kini mendapat permintaan.
"Malah, terdapat banyak pekerjaan yang mungkin hari ini kita tidak pernah dengar tentangnya akan menjadi kenyataan menjelang lima hingga 10 tahun akan datang.
Oleh itu, kita perlu melatih anak-anak kita hari ini untuk pekerjaan yang sebelum ini tidak wujud," katanya, sambil menambah bahawa Malaysia merekodkan lebih daripada 88,107 pekerjaan dalam bidang berkaitan Sains Komputer tahun lalu.
Najib menggesa ibu bapa untuk menggalakkan anak-anak mereka menguasai ekonomi digital sebagai laluan kerjaya memandangkan potensi pendapatan dalam bidang ini adalah besar.
Sebagai contoh, Najib berkata seorang graduan animasi dari Universiti Multimedia berpendapatan lebih daripada RM25,000 sebulan manakala seorang wanita yang menjadi saintis data dari Pulau Pinang memperoleh lebih daripada RM25,000 setiap bulan.
"Ibu bapa hari ini mesti tidak mahu anak-anak mereka menjadi doktor, peguam atau ahli politik. Mereka harus menjadi saintis atau mendapat pekerjaan bagi ekonomi masa depan. Yang itu pasti lebih menarik," katanya.
Mengenai pelancaran #mydigitalmaker, Najib berkata pergerakan itu, dengan kerjasama Kementerian Pendidikan dan disokong sektor swasta dan ahli akademik, adalah inisiatif untuk mewujudkan sebuah negara pembuat digital.
Perdana menteri menyeru semua rakyat Malaysia untuk menyokong generasi akan datang memanfaatkan inovasi digital melalui pergerakan #mydigitalmaker yang mesti diambil bahagian oleh semua orang untuk melihat ekonomi digital yang lebih kukuh untuk negara.
"Saya menggesa anda untuk merebut peluang ini, untuk menjadi berani dan yakin - impikan satu impian penting dan dan jadikannya satu kenyataan dengan teknologi digital. Ekonomi digital yang kita katakan ini, akan mendorong lebih banyak inovasi dan pertumbuhan bagi negara kita - dan anda, sebagai tenaga kerja masa depan, akan menjadi pemacu.
"Masa depan bermula sekarang, dan ia bermula dengan anda. Cabar diri sendiri, rebut peluang, dan jadikan idea terbaik anda menjadi satu tindakan - kerana anda boleh. Percayalah dan anda akan melihat bahawa masa depan inovator digital di Malaysia adalah cerah dan menjanjikan kepuasan," katanya.
Turut hadir Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid, Timbalan Menteri Pendidikan Datuk P.Kamalanathan, Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Dr Khair Mohamad Yusof, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Sharifah Zarah Syed Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutif MDEC Datuk Yasmin Mahmood.-- Bernama
Baca lebih lanjut di http://www.mstar.com.my/berita/berita-semasa/2016/08/11/pemikiran-komputasional-tahun-depan/#AJLDCUvxgImIBTIR.99.
Labels:
komputasional,
konsep
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment